Mengaku anak keturunan melayu sejati? Cuba anda jawab dulu teka-teki ini

Mengaku anak keturunan melayu sejati? Cuba anda jawab dulu teka-teki ini

 

Bangga jadi anak keturunan Melayu tetapi warisan bahasa sendiri pun tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu. Cakap pun tunggang-langgang di sana-sini. Lebih keji, guna bahasa rojak basi walaupun dalam urusan rasmi. Anak Melayu seperti itukah yang mahu dibanggakan?

Selain peribahasa dan pantun, satu lagi khazanah bahasa yang memancarkan nilai dan melangitnya akal budi bangsa Melayu adalah teka-teki.

Benda yang sudah jadi kebiasaan dalam hidup boleh dijadikan ‘teka teki’ hinggakan secara tersurat nampak seperti tidak logik tetapi sebenarnya masih mematuhi hukum akal.

Halus lagi indahnya bahasa Melayu walaupun sekadar teka-teki yang sekadar menjadi bahan sembang atau mengusik rakan sewaktu masa lapang. Benda atau hal yang rencam dapat dirumuskan dalam hanya sebaris ungkapan.

Tidak hairanlah, lebih 100 tahun lalu, sudah ada seorang rakyat British berketurunan Jerman mengumpulkan teka-teki Melayu lama.

O.T Dussek menghimpunkan sejumlah teka-teki ini dalam bukunya, “Long-Chair Malay” yang diterbitkan pada tahun 1918.

Beliau sebenarnya pengetua pertama Sultan Idris Training College (SITC) atau kini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ya. “Ibu Kandung Suluh Budiman”.

Meneliti teka-teki lebih satu abad lalu, kita dapat melihat bagaimana unsur alam yang melingkungi kehidupan datuk nenek moyang kita dahulu menjadi sumber ilham mereka.

Ada teka-teki dalam buku ini sudah jauh dengan anak Melayu sekarang disebabkan faktor perubahan lingkungan alam. Contohnya, “nasi di bawah, kerak di atas” ialah membakar damar manakala “orang tua mengangkat air” merujuk kepada kincir.

Namun, sebahagiannya pula masih relevan lantaran berkaitan anggota badan, tumbuhan dan benda yang lazim di sekeliling kita.

Oleh sebab itu, wajar kita popularkan kembali dengan menyebarkan kepada rakan-rakan dan anak cucu supaya khazanah teka-teki yang menggunakan ayat tepat dan padat ini tetapi memberikan jawapan yang membuatkan kita spontan menyebut, “oooh…”agar tidak lenyap dihanyutkan zaman.

Kalau bukan kita, siapa lagi mahu diharapkan? Khazanah bahasa kita dalam apa bentuk sekalipun hatta teka-teki sebenarnya melangit dan membumi! Hanya kita usah berjiwa abdi!

Berikut antara 20 teka-teki Melayu menarik yang berusia lebih 100 tahun lampau ini. Cubalah jawab. Ambil masa, berfikir sejenak dan bandingkan dengan jawapannya di bahagian akhir sekali:

1. Ditutup sebesar kuku, dibuka sebesar alam.
2. Pagar orang kita nampak, pagar kita tiada tampak.
3. Dirasa ada, dipandang tiada.
4. Satu busut berlubang tujuh.
5. Pangkal di atas, pucuk di bawah.

6. Ada air tiada ikan, ada langit tiada bintang.
7. Terlupa dibawa, teringat dibuangkan.
8. Sungguh berair, berkocak tidak.
9. Berpayung bukannya raja, hendak berjalan tiada kaki.
10. Dari kecil berkain, sudah besar bertelanjang.

11. Itu dia, nampak tidak.
12. Kecil kawan, besar lawan.
13. Dua buah masak malam, tiga buah masak siang.
14. Diarak, diusung, ditanam tak tumbuh.
15. Badan di atas, nyawa di bawah.

16. Anak raja berjambul emas.
17. Cabut lubang, tinggal tiang
18. Ular besar melilit tubuh.
19. Naik kuda tabur bunga.
20. Ular hitam keliling busut.

Jawapan:

1. mata
2. gigi
3. telinga
4. kepala
5. janggut

6. kelapa
7. kemuncup
8. tebu
9. cendawan
10. rebung

11. angin
12. api
13. waktu sembahyang
14. mayat
15. layang-layang

16. pelita
17. cincin
18. tali pinggang
19. kukuran
20. tocang