Menara TM tumbang, pengguna hadapi gangguan Internet

Menara TM tumbang, pengguna hadapi gangguan Internet

PENGGUNA talian telekomunikasi dan Internet dijangka mengalami gangguan talian susulan berlaku insiden menara Telekom Malaysia Berhad (TM) di kawasan Seberang Perak, Perak.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dalam satu kenyataan memaklumkan terdapat satu insiden menara milik TM yang dikongsi bersama dengan Celcom tumbang pada Ahad lalu.

Menurut kenyataan itu, insiden berkenaan dipercayai akibat kejadian hujan lebat dan angin kencang di Seberang Perak, Perak Tengah sekitar jam 4 petang pada hari kejadian.

“Ekoran daripada kejadian menara yang tumbang, gangguan liputan komunikasi dan Internet dijangka berlaku bagi pelanggan TM Unifi Mobile dan Celcom.

“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang berada di menara tersebut untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih dengan segera,” menurut kenyataan yang dikongsi di laman Facebook MCMC hari ini.

MCMC memaklumkan, sebagai langkah awal, Mobile Base Transceiver Station (MBTS) akan digerakkan ke lokasi kejadian untuk memberikan perkhidmatan dan memulihkan liputan selewat-lewatnya Jumaat ini.

Sumber: Malaysiapost