Melecur tahap empat, Faisal Halim dipercayai disimbah asid sulfurik pekat

Melecur tahap empat, Faisal Halim dipercayai disimbah asid sulfurik pekat

 

Tonggak Harimau Malaya Faisal Halim dipercayai disimbah asid sulfurik pekat hingga menyebabkan beberapa anggota badan melecur tahap empat.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon ketika melawat Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey di hospital swasta, di sini, hari ini.

Johan berkata, pakar perubatan akan menggunakan sejenis ubat khas dari Australia kepada Faisal untuk membantu memulihkan kecederaannya.

Beliau berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan Faisal untuk terus kuat dan kembali pulih.

“Keadaan kecederaannya agak serius. Dia dalam keadaan sedar tapi badan dia memang sangat teruk. Asid yang disimbah kepada Faisal adalah asid sulfurik pekat,” katanya.

Faisal yang juga tonggak penting skuad kebangsaan mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan selepas diserang individu tidak dikenali menggunakan asid ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, kelmarin.

Pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan selesai menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam.

Selain itu, Johan berkata, Faisal akan menjalani satu lagi pembedahan pada petang ini dalam usaha memastikan kesihatannya berada dalam keadaan stabil.