Melecur cuba padam kebakaran
Seorang lelaki melecur di kaki dan tangan ketika cuba memadam kereta miliknya yang terbakar di Taman Seri Emas, di sini, awal pagi ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi rawatan dan membawa lelaki itu ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.25 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang musnah terbakar 90 peratus.
“Seorang lelaki Melayu pemilik kenderaan mengalami kecederaan kaki dan tangan dalam cubaan memadam kebakaran kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihak bomba memadamkan kebakaran menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran.
Operasi yang diketuai Pegawai Kanan Bomba II Rozali Uyop tamat pada 3.42 pagi. – AA