‘Melayang’ RM11K bawa isteri tengok konsert Taylor Swift, suami siap pakai T-shirt tunjuk kos yang dibelanjakan
Nama suami kepada pempengaruh Indonesia, Ulfa Merdeka iaitu Hendra Outside menjadi bualan hangat netizen di media sosial dek baju yang dipakainya ketika konsert The Eras Tour Taylor Swift di Singapura baru-baru ini.
Tak dinafikan, pelbagai jenis pakaian dan fesyen yang digayakan penonton ketika konsert itu namun baju-T berwarna putih yang disarung Hendra mencuri tumpuan ramai.
Mana tidaknya, walaupun nampak ringkas tetapi rupa-rupanya di bahagian belakang baju tersebut terpapar kos keseluruhan yang dibelanjakan Hendra untuk membawa si isteri menyaksikan konsert The Eras Tour Taylor Swift pada 3 Mac lalu di Singapura.
Manakala di bahagian hadapan baju pula tercetak tulisan berbunyi; ‘Saya bukan Swiftie, tetapi saya mahu membahagiakan isteri saya’.
Jumlah keseluruhan bajet yang dibelanjakan Hendra 38,150,000 rupiah atau bersamaan kira-kira RM11,500 dan jumlah itu termasuk kos tiket, pengangkutan, penginapan, wang makan dan sebagainya.