Mehmet Durakovic bakal tinggalkan Perak FC?
Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) terus terpalit kontroversi apabila dikhabarkan bakal berpisah dengan ketua jurulatihnya, Mehmet Durakovic.
Spekulasi mengejutkan itu kini tersebar luas dan dikhabarkan keputusan itu dibuat atas persetujuan antara pengurusan Perak FC dan Durakovic.
Jika benar spekulasi itu, ia pasti menjadi satu lagi tamparan hebat buat skuad Bos Gaurus selepas kehilangan beberapa tonggak utama termasuk penyerangnya, Shahrel Fikri Fauzi yang berhijrah ke Selangor FC musim ini.
Malah, pertukaran jurulatih juga bakal memberi cabaran besar buat Perak terutama dalam mempersiapkan pasukan ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini bakal membuka tirai kira-kira dua minggu lagi.
Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi daripada pengurusan Perak FC atau Durakovic mengenai khabar angin itu. Selain itu, muncul juga khabar angin bahawa bekas pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt bakal mengambil alih tugas Durakovic.
Durakovic yang juga bekas pengendali Selangor membimbing Perak sejak 2017 dan pernah menyumbang kejuaraan Piala Malaysia pada 2018. Sebelum ini, Perak FC sudah terpalit kontroversi apabila Perak II dikhabarkan bakal menarik diri dari saingan Liga Perdana musim ini. – BH