Meerqeen akhirnya buka mulut, jawab tuduhan bercium dengan Mimi Lana di kelab malam

Meerqeen akhirnya buka mulut, jawab tuduhan bercium dengan Mimi Lana di kelab malam

 

Selepas sekian lama mengunci mulut, pelakon Meerqeen akhirnya tampil menjelaskan gosip mengaitkannya dengan pelakon sensasi, Mimi Lana yang didakwa bercium di sebuah kelab malam, beberapa bulan lalu.

Meerqeen atau nama sebenarnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, berkata tidak mungkin melakukan perkara sedemikian kerana sudah menganggap Mimi sebagai kawan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menolak penyebaran khabar angin itu ada kaitan dengan pihak yang mungkin tidak berpuas hati dengan pencapaianya dan ingin menjatuhkannya.

“Saya terkejut dan menganggap ia sesuatu yang bodoh kerana tak mungkin saya akan lakukan perkara sedemikian.

“Lagipun, saya berada di luar Kuala Lumpur kerana terbabit dengan kerja ketika gosip ini timbul.

“Jadi, saya terkejut bila dikaitkan dengan gosip ini,” katanya ketika ditemui di majlis pra pelancaran filem Klepet terbitan Respected Citizen Sdn Bhd di Putrajaya.

Meerqeen turut menolak dakwaan menjadi punca keretakan hubungan antara Mimi dan pelakon Syafiq Kyle.

Bagi menjernihkan keadaan, dia turut berhubung dengan Syafiq bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Kami dalam lingkungan sahabat yang sama. Jadi, tak mungkin saya akan buat perkara sebegitu.

“Syafiq adalah rakan saya dan kami berada dalam bidang yang sama. Kami sudah ‘man to man talk’ bagi selesaikan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Meerqeen berkata, dia tidak perlu menjelaskan kepada sesiapa mengenai gosip berkenaan kerana baginya cukup keluarga yang tahu perkara sebenar.

“Saya tak layan apa-apa yang keluar dalam media sosial sehingga boleh menjejaskan kerjaya.

“Sebagai artis, kehidupan saya sentiasa menjadi perhatian. Saya tak perlu jelaskan apa-apa demi memuaskan hati semua pihak.

“Kenapa saya perlu jawab untuk puaskan hati orang lain? Lebih baik saya berdiam, cukuplah keluarga tahu apa yang saya buat,” jelasnya.

Terdahulu, timbul dakwaan seorang aktor baharu meningkat naik dikatakan bercium di kelab malam dengan pelakon popular yang berstatus tunangan orang.

Warganet membuat spekulasi dan mengaitkan nama Meerqeen dan Mimi Lana berikutan mereka sedang bergandingan dalam drama bersiri, Headliners.