Sewa tertunggak lebih RM15k, MBS cabut pintu rumah penyewa PPR
Sewa tertunggak lebih RM15k, MBS cabut pintu rumah penyewa PPR
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menggunakan pendekatan berbeza dengan menanggalkan tiga pintu di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kendaliannya yang dihuni penyewa culas.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, tindakan itu diambil terhadap penyewa yang mempunyai tunggakan sewa RM15,000 ke atas.
Tindakan itu diambil susulan operasi tunggakan sewa yang dijalankan di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi atau dikenali PPR Paroi yang turut dibantu anggota Balai Polis Paroi.
Mengulas lanjut, katanya MBS sentiasa memberi peluang dan membantu pelbagai kaedah supaya penyewa yang mempunyai tunggakan dapat menjelaskan bayaran sewa.
Beliau berkata, ini termasuk melaksanakan aku janji antara penyewa yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000 ke atas untuk menjelaskan bayaran tunggakan secara ansuran bermula Januari tahun lalu.
“Namun penyewa masih gagal mematuhi perjanjian itu sehingga MBS mengeluarkan Notis Penamatan Perjanjian melalui surat bertarikh 30 November lalu.
“Susulan itu, MBS mengambil tindakan menanggalkan pintu di tiga rumah terbabit supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.
“Bagaimanapun, MBS masih membenarkan penyewa yang mempunyai tunggakan sewa untuk tinggal di rumah berkenaan buat sementara waktu,” katanya.
@mbseremban Operasi Tunggakan Sewa PPR Paroi pada 12 Disember 2024 #MajlisBandarayaSeremban #mbseremban #MampanBersihSejahtera #SayangiMBS #MalaysiaMadani
♬ bunyi asal – Majlis Bandaraya Seremban – Majlis Bandaraya Seremban
Masri berkata, MBS akan meneruskan operasi secara berkala dan meminta penyewa di rumah PPR Paroi dan PPRT Lobak menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa ditetapkan.