MBI beri surat amaran kepada peniaga ais tidak berlesen

MBI beri surat amaran kepada peniaga ais tidak berlesen

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi amaran lisan dan surat amaran kepada pembekal ais tidak berlesen supaya menghentikan aktivirti di Pasar Borong Ipoh, di sini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, amaran dikeluarkan pada Selasa lalu kepada pembekal terbabit yang juga peniaga ikan di pasar berkenaan.

Menurutnya, peniaga itu mempunyai lesen perniagaan ikan di pasar terbabit dan lesennya boleh dibatalkan sekiranya masih menjual ais selepas notis dikeluarkan.

Katanya, isu monopoli dan harga yang diletakkan terlalu tinggi dikatakan menjadi penyebab kepada dakwaan kewujudan aktiviti pembekalan ais bagi kegunaan peniaga barangan basah secara haram di pasar itu seperti yang didedahkan media sebelum ini.

“Hasil siasatan mendapati persatuan pemborong ikan di pasar itu melantik seorang peniaga ikan di situ bagi menguruskan pembekalan ais atas sebab ingin memecahkan monopoli peniaga sedia ada yang menjual ais pada harga tinggi.

“Kes ini pernah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang MBI pada 2017 dan mendapati wujud isu monopoli dalam kalangan peniaga sekali gus persatuan mencari alternatif untuk bekalan lebih murah,” katanya dalam sidang media khas di Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Sidang media itu dibuat sejurus perbincangan antara Rumaizi bersama wakil badan bukan kerajaan (NGO), wakil persatuan, polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Isu peniaga ikan itu menjual ais tanpa lesen menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga lain kerana dilihat menindas peniaga Bumiputera, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Rumaizi berkata, pihaknya meminta peniaga di pasar itu mengadakan perbincangan sebelum mengemukakkan syor sebagai cara memecahkan monopoli peniaga ais berlesen di pasar berkenaan.

“Kita sudah wujudkan jawatankuasa untuk berbincang khususnya mengenai keperluan mereka sama ada perlu lebih daripada satu peniaga ais atau sebaliknya sebelum keputusan dibuat,” katanya. – HM