MBI bantu sediakan tempat tinggal untuk keluarga R Suganthi

MBI bantu sediakan tempat tinggal untuk keluarga R Suganthi

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersedia untuk membantu mendapatkan tempat tinggal baharu untuk R Suganthi,53, dan anak perempuannya, M Lalithambiga, 33.

Kisah kesempitan hidup mereka akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), turut mendapat perhatian daripada pihak Econsave yang turut tampil menghulurkan sumbangan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut.

“Kita akan pertimbangkan nanti (tempat tinggal baharu), dalam masa terdekat ini kita akan buat keputusan. Sama ada di sini atau di rumah pangsa milik MBI.

“Kita akan lihat yang mana bersesuaian untuk keluarga ini memandangkan situasi mereka sekarang yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai daripada MBI kepada keluarga tersebut di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman yang menyampaikan sunbangan barangan makanan bernilai RM500 kepada R.Suganthi.

Sementara itu, Rumaizi berkata pihak sebuah pasar raya di sini turut bersedia menawarkan pekerjaan sebagai pegawai keselamatan kepada R.Suganthi.

“Saya difahamkan yang sebelum ini dia bekerja sebagai pegawai keselamatan, jadi saya berbincang dengan pihak pasar raya itu dan mereka setuju untuk tawarkan kerja di bahagian keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, R. Suganthi ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terharu dengan bantuan tersebut.

Katanya lagi, buat masa ini dia perlu berehat dalam tempoh beberapa bulan memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“Doktor nasihatkan supaya saya berehat disebabkan pernah terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan kesan kepada tulang belakang.

“Saya mempunyai masalah sakit tulang belakang selepas kemalangan sejak tahun 2015, jadi doktor menasihatkan rehat dahulu selama setahun, bila sudah beransur baik nanti saya memang mahu bekerja,” katanya.

Semalam, keperitan hidup keluarga berkenaan mendapat perhatian Yayasan Era Suria (YES) dan Srikandi Perak yang hadir menyampaikan bantuan kewangan dan barangan keperluan dapur.

Media melaporkan dia yang kini hidup menumpang di rumah rakan mengakui pada mulanya malu untuk meminta bantuan, namun terpaksa merayu keprihatinan orang ramai selepas tidak lagi sanggup melihat anak perempuannya yang menderita sakit tulang belakang tidak makan dan minum.

Sumber: Suara Perak