MBI akan perluas e-dompet di pasar, medan selera selepas Aidilfitri

MBI akan perluas e-dompet di pasar, medan selera selepas Aidilfitri

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperluaskan penggunaan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai atau e-dompet di semua medan selera dan pasar awam di bawah seliaannya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata penggunaan perkhidmatan itu merupakan salah satu inisiatif di bawah program Bandar Pintar Ipoh 2030 untuk menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai menerusi platform pengendali e-dompet yang terpilih.

“Sebagai permulaan, kita melaksanakan e-dompet ini di Bazar Ramadan di perkarangan Stadium Indera Mulia yang mana kira-kira 100 peniaga telah mula menggunakan kaedah urus niaga tanpa penggunaan wang tunai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan e-wallet Maybank Bazar Ramadan MBI di sini, pada Selasa.

Mengulas mengenai penggunaan e-dompet di Bazar Ramadan bermula Selasa, Rumaizi berkata ia secara tidak langsung mengurangkan risiko penipuan disebabkan oleh rekod perbelanjaan dapat dijejak dengan mudah serta membolehkan kawalan perbelanjaan.

“Selain itu, pengguna tidak perlu membawa wang yang banyak untuk berbelanja serta mempercepatkan transaksi selain pengguna juga akan menerima rebat setiap kali transaksi jual beli secara digital dilakukan,” katanya. – Bernama