MB Perak zahir takziah pada keluarga MP Gerik

MB Perak zahir takziah pada keluarga MP Gerik

Kerajaan Perak menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berita pemergian Allahyarham sangat mengejutkan semua pihak.

Menurutnya, pemergian Allahyarham juga merupakan satu kehilangan besar buat negeri ini terutama bagi kawasan Parlimen Gerik.

“Kita doakan semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Faizal juga berharap agar ahli keluarga Allahyarham Hasbullah tabah menghadapi ujian yang berat ini.

Hasbullah, 63, disahkan meninggal dunia jam 7 petang tadi. Beliau dilaporkan tidak sedarkan diri sebaik sahaja sampai ke kereta setelah mendapat rawatan di sebuah klinik selepas mengadu sakit perut. Difahamkan jenazahnya dibawa ke Hospital Raub.

Sumber: Sinar Harian