Mazlan Lazim Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu?

Mazlan Lazim Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu?

Spekulasi mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai peneraju Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah lenyap, selepas Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, 59, memulakan tugas Ketua Polis Negara ke-13 pada 4 Mei 2021.

Kini timbul pula persoalan siapa yang akan menggantikan tempat dikosongkan Acryl Sani – Timbalan Ketua Polis Negara – yang bakal menggalas tugas berat membantu ketuanya mengendalikan PDRM?

Spekulasi kini berlegar di kalangan Bukit Aman. Siapakah di kalangan 10 pengarah jabatan di dalam PDRM yang bakal diangkat ke kedudukan nombor dua dalam pasukan itu?

PDRM pada 1 Jun lalu melakukan rombakan pegawai kanannya yang turut membabitkan tujuh daripada 10 pengarah jabatan berkuat kuasa 1 Julai depan.

Tujuh pengarah baharu jabatan itu membabitkan:

  1. Pengarah Cawangan Khas, Datuk Zamri Yahya;
  2. Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Ramli Din;
  3. Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Zainal Abidin Kassim;
  4. Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass;
  5. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan;
  6. Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Azri Ahmad; dan
  7. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Sementara, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST), Datuk Azisman Alias tidak terbabit dalam pertukaran tetapi dinaikkan pangkat dengan memangku jawatan Komisioner Polis (CP).

Tinggal dua pengarah jabatan yang tidak terbabit dalam rombakan berkenaan iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Razarudin Husain, dan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Lalu spekulasi bertiup kencang ke arah kedua-duanya – Razarudin dan Mazlan.

Namun, Agenda Daily melihat ketokohan Mazlan sebagai pemimpin di dalam PDRM lebih menonjol daripada Razarudin, malah terbukti apabila diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan pasukan sebelum ini untuk menerajui jawatan-jawatan penting di dalam PDRM.

Lebih terserlah, beliau sebelum dilantik memimpin peringkat jabatan, diberi kepercayaan untuk mengetuai PDRM pada peringkat negeri sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri dan seterusnya sebagai Ketua Polis Negeri.

Mazlan terkenal dengan sikap tegas, tetapi sentiasa mengambil berat terhadap pegawai dan anggota bawahannya terutama dalam perkara-perkara membabitkan kebajikan, menjadikan pendekatan ‘command and control’ di dalam pentadbiran beliau amat berjaya.

Hala tuju beliau diperturunkan pada peringkat pelaksana sangat tegas dan jelas sejajar dengan kehendak pucuk pimpinan dan masyarakat khususnya.

Pada suatu ketika, Mazlan menggalas tanggungjawab penuh cabaran sepanjang menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur bermula 2017 hingga September 2020. Ibu kota Malaysia yang menjadi tumpuan sudah semestinya memberikan seribu satu cabaran terutama dalam menangani peningkatan kadar jenayah serta pengawalan dan pembanterasan sindiket jenayah terancang.

Kewibawaan beliau jelas apabila dengan lantangnya menyatakan tidak akan berkompromi terutama terhadap sindiket-sindiket judi di Kuala Lumpur. Beliau mengisytiharkan bahawa Kuala Lumpur akan bersih daripada mesin-mesin judi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan anggota beliau yang didapati ‘memberi muka’ kepada sindiket itu.

Jelas dilihat, sepanjang beliau berada di Kuala Lumpur, operasi khas terhadap perjudian tidak pernah lekang dilaksanakan di setiap peringkat sehingga mereka tiada peluang untuk bertapak lama, dihalau keluar dari Kuala Lumpur dan kini bandar raya dikatakan ‘kosong’ mesin judi.

Demikian juga dengan sindiket Addy Kanna yang dikatakan antara sindiket perjudian terbesar di Malaysia tidak berjaya masuk ke Kuala Lumpur sepanjang Mazlan menjadi Ketua Polis.

Walaupun ada beberapa pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM), Mazlan disahkan tidak terlibat dan tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan mengatakan beliau turut terbabit.

Demikian juga ketegasan beliau terhadap aktiviti kumpulan gangsterisme di bandar raya. Ramai ahli kumpulan gangster yang telah dikenakan tindakan mengikut SOSMA sepanjang beliau menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur.

Ini dapat dilihat apabila tiada insiden buruk dan serius yang berlaku di Kuala Lumpur membabitkan kumpulan-kumpulan gangster.

Jikapun berlaku insiden kecil seperti pergaduhan, Mazlan dengan tegas mengarahkan pegawainya mengambil tindakan segera membuat tangkapan, dan mendakwa selain melakukan pencegahan dan tindakan susulan bagi memastikan tiada unsur-unsur ‘gangster’ menyerap masuk ke dalam komuniti Kuala Lumpur.

Demikian juga langkah diambilnya dalam menangani kes ragut kerana ibu kota Kuala Lumpur menjadi pusat pelancongan dan tumpuan masyarakat. Operasi yang kerap dilakukannya berjaya menurunkan kadar jenayah ragut di bandar raya.

Bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliau juga turut turun padang bagi memastikan program ‘Keep KL Safe’ mencapai sasaran.

Walaupun terdapat pihak yang tidak senang dengan sikapnya yang lantang dan tegas itu, Mazlan tidak goyah kerana keyakinan serta niatnya untuk menjaga kepentingan negara dan keselamatan orang ramai.

Tanpa memikirkan jawatan tinggi, Mazlan diberi kepercayaan oleh Ketua Polis Negara sebelum ini Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun untuk menjawat jawatan Pengarah Logistik PDRM.

Dan kini namanya disebut-sebut untuk memakai pangkat Deputi Inspektor Jeneral Polis dan duduk di kerusi Timbalan Ketua Polis Negara.

Sumber: agendadaily