Mayat pemandu lori berkecai, dua terkorban dalam nahas 7 kenderaan di lebuhraya PLUS

Mayat pemandu lori berkecai, dua terkorban dalam nahas 7 kenderaan di lebuhraya PLUS

 

Seorang daripada dua lelaki pemandu lori yang maut dalam nahas tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini pagi tadi, ditemukan dalam keadaan berkecai.

Difahamkan, mangsa masing-masing ialah pemandu lori gula pasir dan pemandu lori muatan logam yang meninggal dunia di tempat kejadian di laluan antara Gopeng ke Simpang Pulai, dekat Kampung Tersusun Tekah .

Memetik laporan BH Online, kemalangan membabitkan tiga lori dan empat kenderaan itu dilaporkan kepada bomba pada jam 7.46 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai serta BBP Gopeng dikejarkan ke lokasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia.

“Pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Seorang mangsa yang patah tangan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Sementara itu, pihak PLUS menerusi laman X memaklumkan semua lorong di kedua-dua arah jalan terhalang kerana tumpahan gula dan serpihan badan lori.

“Semua lorong di kedua-dua arah masih terhalang. Sila keluar ke Plaza tol Simpang Pulai (arah ke selatan) dan Plaza tol Gopeng (arah ke utara),” ciap PLUS, hari ini.