Mayat lelaki ditemukan terapung dalam kolam takungan banjir

Mayat lelaki ditemukan terapung dalam kolam takungan banjir

Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemukan mati terapung dalam kolam takungan banjir Sungai Pinji Taman Indah, Tanjung Rambutan di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata mangsa Daniel Lau Khai Wen, 25, dengan berpakaian t-shirt merah itu ditemukan seorang lelaki yang mahu memancing di kawasan berkenaan kira-kira 6 petang.

“Pemeriksaan awal pihak bomba mengesyaki si mati meninggal dunia sejak dua hari lalu dan pengecaman mayat disahkan oleh bapanya.

“Pihak keluarga sebelum itu ada membuat satu laporan polis berkenaan kehilangan si mati di Balai Polis Tambun,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata adik mangsa memaklumkan si mati amat sedih dan marah kerana bertengkar dengan ibunya dan memberitahu ingin keluar dari rumah serta tidak ingin tinggal bersama-sama keluarga.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses prosedur Covid-19 dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. – HM