Mayat ditemukan dalam tangki najis dengan berkain sarung & berseluar dalam tanpa baju, suami isteri diburu

Mayat ditemukan dalam tangki najis dengan berkain sarung & berseluar dalam tanpa baju, suami isteri diburu

 

Sepasang suami isteri diburu polis selepas dipercayai melarikan diri susulan penemuan mayat rakan serumah mereka dalam tangki najis sebuah kediaman di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata mayat lelaki warga Indonesia dianggar berusia 40-an itu ditemukan dalam tangki najis dengan berkain sarung dan berseluar dalam tanpa baju.

Katanya, maklumat mengenai penemuan mayat itu diterima kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi dan hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh hari ini mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Polis sedang mengesan sepasang suami isteri yang tinggal serumah dengan mangsa bagi membantu siasatan.

“Mereka sudah melarikan diri dan dipercayai terbabit dalam kes ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436.