Mayat membusuk dijumpai dalam tangki simpanan air di Pulau Pangkor

Mayat membusuk dijumpai dalam tangki simpanan air di Pulau Pangkor

 

Mayat membusuk dijumpai dalam tangki simpanan air di Pulau Pangkor

Misteri bau busuk di sebuah tangki simpanan air pelantar di Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Manjung iaitu Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemui sekitar jam 3.15 petang selepas pekerja pelantar yang mahu membuka paip utama terhidu bau busuk yang datang dari arah tangki simpanan air.

Siasatan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terlungkup dan tidak sedarkan diri di dalam tangki tersebut.

Pemeriksaan oleh pembantu pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pangkor mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu dengan menghubungi Balai Polis Pangkor atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6886222 atau WhatsApp ke 014-6828005.