Mat Said akhirnya dedah punca BN kalah parlimen Kemaman pada PRU-15

Mat Said akhirnya dedah punca BN kalah parlimen Kemaman pada PRU-15

 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said, menegaskan kekalahan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kemaman dengan majoriti lebih 27,000 undi bukan disebabkan kesilapan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Beliau yang juga bekas calon BN bagi Parlimen Kemaman dalam PRU15, mendakwa unsur rasuah yang berleluasa adalah punca utama kekalahan itu.

“Kekalahan dengan majoriti besar di Parlimen Kemaman pada PRU15 bukan disebabkan calon, sebaliknya berlaku unsur rasuah secara berleluasa.

“Calon yang ditampilkan pada PRU15 lalu, adalah calon terbaik dan diterima di peringkat akar umbi,” tegasnya kepada BH hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata, parti itu akan lebih berhati-hati memasuki Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, susulan kekalahan majoriti lebih 27,000 undi pada PRU15.

Katanya, BN belum memikirkan calon yang sesuai untuk diletakkan bertanding, namun akan memastikan ia sesuai dengan pengundi kawasan berkenaan serta tokoh yang boleh diterima orang Terengganu.

Dalam PRU15, calon PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid, memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi, selepas memperoleh undi sebanyak 65,714 sekali gus menewaskan Ahmad yang memperoleh undi sebanyak 38,535.

Dua lagi calon yang bertanding ketika itu, Rosli Ab Ghani (PEJUANG) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat 506 dan 8,340 undi.

Susulan kekalahan itu, BN memfailkan petisyen terhadap keputusan PRU15 Parlimen Kemaman atas dakwaan berlaku kegiatan rasuah.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan Che Alias selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya di kawasan terbabit.

Susulan keputusan mahkamah itu, pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan, sebaliknya bersedia menghadapi PRK pada bila-bila masa.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO Terengganu juga belum berbincang mengenai pemilihan calon yang akan bertanding pada PRK Kemaman.

“Kita menganggarkan, lima atau enam nama pimpinan UMNO akan dicadangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berbanding hanya tiga nama sebelum ini. Berhubung calon yang bertanding kita serahkan kepada pimpinan tertinggi UMNO,” katanya.