Masjid, surau Perak kumpul RM306,000 bantu mangsa banjir

Masjid, surau Perak kumpul RM306,000 bantu mangsa banjir

 

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berjaya mengumpul lebih RM300,000 untuk sumbangan mangsa banjir hasil kutipan di seluruh masjid dan surau diri Jumaat di negeri itu.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kutipan itu dibuat pada 24 Disember lalu melibatkan 622 masjid dan 63 surau diri Jumaat semasa umat Islam mendirikan solat Jumaat.

Menurut beliau, sehingga tarikh serahan pada Isnin, jumlah kutipan mencecah RM306,000.

“Insya-Allah akan ada lagi serahan oleh pihak-pihak masjid dan surau diri Jumaat selepas ini (yang belum membuat serahan),” ujarnya.

Dalam satu notis dikeluarkan pada 22 Disember lalu, JAIPk meminta agar setiap masjid dan surau diri Jumaat di Perak menyediakan tabung khas kepada mangsa banjir.

Hasil kutipan itu hendaklah disalurkan kepada Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan.