“Masa PKP bising, sampai maki agamawan” – Lelaki ‘marah’ tengok masjid luas, satu saf pun tak penuh
Suatu masa dahulu, masjid pernah menjadi lokasi yang paling dirindui umat Islam disebabkan sekatan untuk menunaikan solat akibat penularan wabak Covid-19.
Pada masa sama, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalah Pergerakan (PKP) yang membataskan langkah setiap individu di luar rumah selama beberapa tahun bagi mengekang penularan.
Mengimbau isu kesihatan ini yang melanda dunia bermula hujung tahun 2019, seorang individu dikenali Don Muhammad tampil mempersoalkan kenapa masjid masih lengang walaupun norma hidup sudah kembali pada kebiasaan.
“Masa PKP bukan main lagi melalak (bising) tak boleh pergi masjid, sampai maki hamun orang agama.
“Sekarang PKP dah tak ada, mana yang suka melalak tu? Tukar agama dah ke,” ujarnya.
Persoalan itu diajukan Don Muhammad di ruangan komen sebuah posting tular di Facebook selepas seorang pelayar berkongsikan gambar keadaan di dalam masjid yang hanya kelihatan beberapa orang jemaah.
Menurut mStar, pelayar terbabit mengibaratkan masjid yang luas seperti Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur tidak dikunjungi sebaliknya kebanyakan masyarakat lebih gemar ke majlis maksiat dan konsert.
“Masjid luas macam Stadium Bukit Jalil tapi jemaah satu saf pun tak penuh. Bukan di masjid negeri Pahang je, di mana-mana masjid pun boleh dikatakan sama.
“Kalau konsert dan majlis-majlis maksiat penuh sampai atas bumbung kereta pun rela panjat,” tulisnya di Facebook.
Hantaran yang tular itu kemudiannya mendapat perhatian seorang lelaki yang seolah-olah tidak dapat menerima hakikat tentang realiti semasa yang disuarakan Don Muhammad.
“Dia ni pergi masjid hari-hari boleh maki orang tak pergi masjid ke? Orang solat kat surau, dia kira tak?
“Tengok Facebook dia pun penuh gambar perempuan dengan sibuk main Forex,” ujarnya sambil berkongsi tangkap layar komen Don Muhammad.
Kelantangannya mempersoal dan mempersenda individu lain menyebabkan warga maya tampil menegur dan menjelaskan apa yang disuarakan dalam posting tular itu adalah benar.
“Betul apa yang dia cakap, cuma dia hanya gunakan bahasa kasar je sebab masa PKP dulu bukan main lagi bising kononnya cakap rindu nak berjemaah di masjid.
“Jangan rasa diri tu terlalu suci, tak kira siapa pun kita, dia tegur perkara baik walaupun cara teguran tu macam kasar tapi memberi kesan pada semua.
“Orang bagi nasihat selagi betul, layan je… betul la time PKP marah masjid tutup,” demikian teguran beberapa warga maya.