Masjid di Perak diminta laksana solat sunat hajat, qunut nazilah setiap Jumaat

Masjid di Perak diminta laksana solat sunat hajat, qunut nazilah setiap Jumaat

Semua masjid di negeri ini diminta untuk mengadakan solat sunat hajat dan bacaan qunut nazilah selepas solat Jumaat dan fardu.

Menurut pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan diedarkan kepada semua Jawatankuasa Masjid seluruh negeri semalam, arahan itu dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara yang kini berada pada tahap membimbangkan.

Pengarah Jaipk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, masjid di seluruh negeri diminta mengadakan bacaan qunut nazilah setiap kali solat Jumaat dan melaksanakan solat hajat selepas solat Jumaat dan salah satu solat fardu yang lain.

“Ia bagi mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dengan harapan pandemik covid-19 ini berakhir dengan segera.

“Pelaksanaan ini hendaklah dilakukan secara berterusan,” katanya.

Mohd. Yusop berkata, selain itu Jaipk juga menggalakkan pembacaan Surah Al-Mulk secara berjemaah yang diketuai oleh imam yang bertugas selepas solat fardu mengikut kesesuaian waktu di masjid dan surau di kariah. – KO