Masih belum ditemui, JAIS dan polis kerjasama kesan Sajat
Walaupun usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad atau Nursajat masih belum ditemui, namun dia sudah berani memuat naik video-video mempromosikan produknya di akaun Instagram.
Setakat ini, pihak berkuasa masih lagi memburu Sajat yang dipercayai menyembunyikan diri dicari pihak berkuasa ekoran kegagalannya menghadiri perbicaraan di mahkamah syariah.
Polis & JAIS akan bekerjasama
Oleh sebab itu, menerusi Berita Harian, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus bekerjasama dengan pihak polis bagi mencari Sajat yang hilang tanpa jejak sejak beberapa minggu lalu.
Hal ini berikutan kuasa JAIS yang agak terhad dan memerlukan pihak polis untuk membantu sebarang urusan.
“Saya difahamkan, sudah ada perbincangan antara JAIS dan polis, justeru MAIS menyerahkan perkara ini kepada kedua-dua pihak terbabit untuk pelaksanaan perintah mahkamah.
“Buat masa ini, JAIS masih mengesan Muhammad Sajjad dan oleh kerana bidang kuasa yang terhad, bantuan polis diperlukan.” Kata Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar
Semua kes termasuk isu Sajat
Selain daripada itu, beliau juga menjelaskan bahawa bantuan tersebut bukan hanya tertumpu kepada Sajat sahaja, tetapi melibatkan semua urusan perintah mahkamah, termasuk waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang dikeluarkan Februari lalu.
“Bantuan bukan saja dalam kes Muhammad Sajjad, bahkan banyak kes syariah sebelum ini kita laksanakan dengan bantuan polis, terutama membabitkan perintah mahkamah,” tambahnya.
Setakat ini, Sajat masih belum dapat dikesan dipercayai menyembunyikan diri setelah waran tangkap keluar.
Sajat juga dipercayai masih berada di Lembah Klang dan pihak berkuasa sedang giat mencarinya.
Sumber: OMM, Berita Harian