Masih belum ditemui, ejen kosmetik mungkin sudah dibawa sejauh Bangkok atau sempadan Myammar

Masih belum ditemui, ejen kosmetik mungkin sudah dibawa sejauh Bangkok atau sempadan Myammar

 

Hampir seminggu Polis Thailand giat melakukan operasi mengesan seorang ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim atau Azi, 36 yang didakwa dilarikan sekumpulan lelaki ke negara jiran.

Beberapa serbuan telah dibuat

Menerusi laporan dari Harian Metro merujuk kepada sumber, pihak berkuasa Thailand sedang bertungkus lumus melakukan pencarian di banyak premis termasuk semua resort di Narathiwat yang dikenal pasti menjadi tempat persembunyian.

“Sejak hari pertama kehilangan mangsa lagi kami menjalankan operasi mengesan selama 24 jam namun setakat ini pencarian masih belum berhasil.

“Serbuan sudah dibuat di semua premis yang berpotensi dijadikan tempat persembunyian termasuk chalet dan resort di sekitar Narathiwat,” katanya.

Mungkin telah dibawa lari lebih jauh

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan kemungkinan mangsa telah dibawa lari lebih jauh iaitu ke Bangkok atau sempadan Thailand-Myammar.

Terdahulu, ejen kosmetik dilaporkan telah dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu kira-kira jam 5.10 petang, Selasa.

Wanita terbabit dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk kampung yang memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Susulan  daripada itu, pihak polis telah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.