Masalah ibubapa selesai, Taska dibuka semula

Masalah ibubapa selesai, Taska dibuka semula

Masalah ibu bapa disebabkan penutupan Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) ekoran perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), hampir selesai apabila kerajaan mengumumkan ia boleh kembali dibuka.

Bukan saja ibu bapa tidak lagi pening kepala, pengusaha taska juga lega kerana boleh kembali beroperasi dan justeru itu, mencari pendapatan selepas terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

Presiden Persatuan Taska Perak Aziah Mohd Shah Baki menyuarakan penghargaan kepada kerajaan, terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), atas berita baik itu.

“Sebenarnya keputusan ini membantu tiga pihak. Bukan sahaja ibu bapa, tapi juga kami sebagai pengusaha taska, dan tenaga pendidik di taska-taska kami yang perlukan pekerjaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Aziah, sejak taska ditutup semula selepas PKPB dikuatkuasa, pemilik taska di Perak kerap dihubungi ibu bapa yang mengadu kesusahan dalam soal jagaan anak-anak, memandangkan mereka tetap perlu keluar bekerja.

Justeru, katanya lagi, pengusaha taska sentiasa berbincang dengan JKM untuk mencari jalan agar taska boleh dibuka, pada masa sama tetap mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Kami adakan mesyuarat dan sampaikan hasrat agar JKM benarkan taska kembali dibuka, biarpun dengan peraturan ketat. Tak mengapa, kami akan ikut,” katanya yang memaklumkan menerima surat daripada JKM pada 9 Nov lalu berkenaan kebenaran itu.

 

Selepas ditutup sejak 18 Mac, taska kembali dibuka susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula 2 Jun.

Bagaimanapun ia kembali ditutup selepas PKPB dilaksanakan di seluruh semenanjung Malaysia – kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan – sejak 9 nov lalu.

Ekoran kegusaran ibu bapa berkenaan soal penjagaan anak, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun pada 12 Nov mengumumkan taska awam dan swasta boleh beroperasi sepanjang PKPB, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Putrajaya (Puspajaya) Husna Abdul Rahaman tidak melihat soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi masalah, memandangkan taska telah berjaya mematuhinya sebelum ini.

Katanya, semasa beroperasi dalam tempoh PKPP, pihak taska dan tadika dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), JKM dan polis, bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

Antara SOP yang ditetapkan adalah pihak taska perlu memaklumkan hasrat beroperasi semula kepada pejabat kesihatan daerah. Ibu bapa perlu menghantar anak secara pandu lalu dan mematuhi jadual tiba dan balik yang ketat. Pelawat sama sekali tidak dibenarkan.

 

Kehadiran dan suhu kanak-kanak perlu dicatat, kegiatan berkumpulan serta perkongsian makanan dan perkakas juga dilarang.

Selain itu, pihak taska juga perlu melakukan sanitasi secara kerap dan menyediakan bilik pengaingan bagi menempatkan kanak-kanak bergejala, sebelum dibawa ke hospital atau klinik.

Semua pihak terlibat, antaranya pengasuh, kakitangan, kanak-kanak dan ibu bapa, juga perlu mengisi borang akuan pengisytiharan kesihatan.

Selain SOP di atas, Aziah memaklumkan ada prosedur tambahan kali ini – taska perlu mendapat kelulusan JKM sebelum memulakan operasi, serta ibu bapa perlu mendapatkan surat pengesahan daripada majikan.

“Mengambil kira faktor keselamatan kanak-kanak yang merupakan golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19, beberapa penambahbaikan telah diambil seperti pengusaha taska berdaftar ingin beroperasi hendaklah membuat permohonan dengan JKM.

“Ibu bapa juga perlu mengemukakan surat pengesahan majikan yang membuktikan kedua-dua ibu bapa perlu bekerja di pejabat,” kata JKM menerusi jawapan emel kepada Malaysiakini semalam.

‘Tidak perlu lagi EL’

Bagi bapa kepada tiga anak, Nik Syafiq, pengumuman kerajaan adalah satu rahmat buat dirinya dan isteri yang tetap perlu keluar bekerja sepanjang PKPB.

Katanya, mereka sebelum ini buntu memikirkan hal itu, sehingga dia perlu mengambil cuti kecemasan (EL) kerana isterinya perlu ke pejabat untuk atas urusan kerja yang tak dapat dielakkan.

“Apabila membaca kenyataan bahawa taska boleh dibuka semula, Alhamdulillah syukur banyak-banyak. Tiga hari lepas ialah hari yang begitu sulit sekali,” katanya yang menghantar dua anak ke taska – berusia enam bulan dan tiga tahun.

“Nak balik kampung (hantar anak), sudah tak boleh rentas daerah. Tak boleh hendak hantar anak ke mana-mana,” luah jurutera itu yang tinggal di Terengganu.

Buat masa ini, katanya, taska anak-anaknya sedang menunggu proses kelulusan JKM untuk dibuka semula.

“Harap-harapnya, Isnin ini sudah boleh hantar anak-anak ke taska,” katanya lagi.

Sumber: Malaysiakini