Margaret Gan gembira Angeline Tan kini mualaf, nasihat ikut cara kehidupan Islam sebenar

Margaret Gan gembira Angeline Tan kini mualaf, nasihat ikut cara kehidupan Islam sebenar

Pelakon veteran, Margaret Gan meluahkan rasa gembira apabila melihat seorang lagi pelakon berbangsa Cina, iaitu Angeline Tan telah memeluk agama Islam, baru-baru ini.

Tumpang gembira

Margaret Gan

Ketika ditemui, Margaret yang juga mualaf berharap Angeline atau nama Islamnya Ardini dapat menjalani kehidupan mengikut cara Islam dengan baik.

Saya gembira mendengar berita dia sudah memeluk agama Islam. Sebagai anak seni, kita mungkin sudah terbiasa dengan perangai yang gila-gila.

Saya doakan agar dia dapat ikut cara hidup Islam yang sebenar.

Saya dah lama juga tak hubungi dia, mungkin nombor telefon sudah hilang. Saya pun dah tak ada nombor telefonnya kerana tukar telefon bimbit.

Margaret berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada artis veteran yang berlangsung di Restoran Ngam Ngam IOI City Mall Putrajaya, pada Rabu.

Ketika disoal apakah yang menggerakkan hatinya untuk memeluk Islam, Margaret berkata dia tidak dipaksa oleh mana-mana pihak, sebaliknya di atas kerelaaan sendiri.

Anak saya tak pernah tanya saya sama ada saya ingin masuk Islam ataupun tidak. Tetapi saya sendiri yang nak masuk Islam. Saya terfikir di usia sebegini, saya mahu mudahkan urusan anak saya andai saya meninggal kelak.

Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan terbaharu, aktres berusia 80 itu berkata kerjaya seninya agak perlahan selepas dia memeluk Islam

Perkembangan seni saya sunyi sepi sahaja. Ada tawaran yang datang selepas saya memeluk Islam dan berhijab. Tetapi skrip tidak sesuai dengan penampilan saya.

Mereka mahu saya lakonankan watak perempuan Cina. Mana ada perempuan Cina yang pakai tudung.

Saya ada juga beri cadangan supaya mereka ubah skrip, jadikan watak saya sebagai mualaf. Tetapi selepas itu senyap sahaja tanpa sebarang berita.

Saya pun tak ada lah bertanya lagi. Lagipun saya faham, takkanlah kita suka-suka nak tukar skrip orang.

Untuk info, Margaret mula memeluk agama Islam sejak Februari 2022. Sebelum itu, anak lelakinya terlebih dahulu sudah memeluk agama Islam.