Marah ditegur tidak bekerja punca suami isteri dibunuh

Marah ditegur kerana tidak bekerja dipercayai menjadi motif utama dalam kes pembunuhan sepasang suami isteri di Taman Bercham Aman di sini pagi semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata susulan itu berlaku pertengkaran antara suspek dan kakak ipar sebelum suspek bertindak menyerang mangsa dan memukul suami wanita itu yang juga abangnya yang datang untuk membantu.
Katanya, suspek dikatakan sememangnya seorang panas baran dan cepat marah.
“Marah ditegur tidak bekerja dan pertengkaran dengan kakak iparnya seterusnya membawa kepada pembunuhan mangsa.
“Kita juga percaya terdapat motif lain tetapi masih dalam siasatan pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, selain sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam insiden pembunuhan berkenaan, pihaknya percaya terdapat senjata lain digunakan untuk menjerut leher mangsa.
“Mangsa cedera parah akibat ditetak di kepala dan tangan menggunakan mata kapak manakala objek tumpul pula membabitkan kesan kecederaan menggunakan belakang kapak.
“Jadi, kita percaya terdapat senjata lain yang mungkin digunakan dalam kejadian itu dan kita masih berusaha mendapatkan barang kes berkenaan,” katanya.
Katanya, semakan rekod kesihatan mengesahkan suspek tidak mempunyai masalah mental.
“Berdasarkan semakan, kita juga tidak pernah menerima sebarang laporan polis daripada mangsa berkaitan suspek sebelum ini,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menahan suspek yang juga adik lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan suami isteri di Taman Bercham Aman di sini, pagi semalam.
Hasil tindakan segera, polis berjaya menangkap suspek berusia 61 tahun di Genting Highlands, Pahang, pada jam 7.45 malam tadi.
Suspek direman seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.