Mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki

Mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki

 

Mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, selamat melahirkan bayi lelaki dalam kandungannya di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini malam tadi.

Menurut adiknya, Fauziah Nordin, 40, kakaknya itu telah menjalani pembedahan kecemasan kira-kira pukul 9 malam.

“Alhamdulillah kak Jahidah sudah lahirkan baby, pembedahan kecemasan pukul 9. Esok kena ke hospital tengok baby,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Tambah Fauziah, keadaan kakaknya itu kini berada dalam pemantauan 24 jam oleh petugas hospital.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Jahidah yang sedang hamil dijangka bakal melahirkan bayi dalam kandungannya secara pembedahan hari ini.

Jahidah telah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi, HTJ sejak 22 November lalu tetapi pihak keluarga tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat.

Doktor memaklumkan bahawa wanita itu bakal berhadapan pelbagai komplikasi respiratory distress (kesukaran pernafasan), pendarahan, jangkitan kuman, cardiact arrest (jantung terhenti) dan kematian.

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

Sebelum ini pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.