Mangsa banjir meninggal dunia
Seorang mangsa banjir meninggal dunia hari ini setelah rebah berhampiran rumahnya di Kampung Chepor Dalam dekat Chemor di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Yusli Yusof, 56, yang tidak sedarkan diri segera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.
Anak sulung Yusli, Muhammad Syafiq Yusra, 28, berkata, sebelum kejadian, ayahnya itu sempat memapahnya keluar dari rumah ke kereta yang diletakkan di kawasan tinggi bagi mengelak ditelenggami air.
Katanya, dia sepatutnya menjalani pemeriksaan x-ray akibat kecederaan di kaki kanan di hospital hari ini.
“Saya hanya menyedari keadaan ayah yang terbaring di atas jalan setelah mendengar jeritan emak. Sebelum itu ayah elok sahaja bersembang dengan beberapa jiran.
“Apa yang dimaklumkan jiran, mereka lihat ayah tiba-tiba sahaja lemah sebelum dilihat cuba untuk duduk sebelum dia rebah di atas jalan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan HRPB di sini hari ini.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, ketika perjalanan ke hospital, ayahnya itu dalam keadaan separa sedar.
“Ayah memang nampak sihat tetapi dia tidak tidur sejak semalam lagi apabila rumah kami dimasuki air. Air di depan rumah pun deras dan berada di paras lutut,” katanya yang menyedari kejadian banjir itu pada pukul 12.30 tengah malam tadi.
Sementara itu seorang mangsa banjir, Noor Azlinda Abdul Rahman, 36, berkata, selepas menyedari rumah dimasuki air, dia segera mengejutkan kedua ibu bapanya yang sedang tidur dan anak perempuan berusia lima tahun.
“Apa-apa pun saya selamatkan anak dulu. Suami bawa anak redah banjir ke kawasan lebih tinggi. Kami tidak sempat selamatkan barang atau dokumen penting kerana air naik terlalu cepat.
“Kami juga cuba selamatkan kereta Perodua Viva dan bawa ke kawasan tinggi namun separuh jalan sahaja kerana laluan tersekat. Kereta pun sekarang sudah tenggelam,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Desa Sri Chepor di sini.
Dalam kejadian banjir awal pagi tadi, 14 penduduk daripada tujuh keluarga di kampung tersebut ditempatkan di PPS yang dibuka pada pukul 2.30 pagi selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam lebih satu meter.
Sumber: Kosmo Online