Mangsa banjir melonjak pada 736 orang di Perak

Mangsa banjir melonjak pada 736 orang di Perak

Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Larut menyaksikan mangsa banjir di Perak melonjak kepada 736 orang daripada 257 keluarga berbanding 372 daripada 122 keluarga malam tadi.

PPS terbaharu dibuka di Masjid Toh Paduka Ijok malam tadi bagi menempatkan 364 mangsa daripada 135 keluarga.

Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak, PPS itu menempatkan mangsa banjir dari empat buah kampung yang terjejas teruk iaitu Kampung Bendang Luas, Kampung Teras, Kampung Masjid dan Kampung Batu Gelugor.

“Di PPS ini sahaja menempatkan 158 mangsa lelaki, 154 wanita dewasa, 15 kanak-kanak lelaki, 31 kanak-kanak perempuan dan masing-masing tiga orang kurang upaya lelaki dan perempuan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Menurutnya, dengan pembukaan
PPS Masjid Toh Paduka Ijok, bilangan PPS di Perak bertambah kepada enam setakat ini.

PPS itu ialah di Dewan Semai Bakti menempatkan 103 mangsa dari 25 keluarga; SK Parit Haji Aman, Bagan Serai (152 mangsa, 63 keluarga); SRAR Ngah Ibrahim, Matang (47 mangsa, 14 keluarga); DOR Kg Sungai Ara, Batu Kurau (55 mangsa, 15 kekuarga) dan Dewan MPTI, Langkap (15 mangsa, 5 keluarga).

Sumber: Suara Perak