Mangsa banjir di Perak berkurangan

Mangsa banjir di Perak berkurangan

Bilangan mangsa banjir di Perak berkurangan kepada seramai 543 orang daripada 159 keluarga hari ini berbanding 1,237 orang daripada 287 keluarga yang dilaporkan pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, sehingga pukul 4 petang ini, hanya tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka.

Menurutnya, enam PPS telah ditutup hari ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Balun, PPS Slim Permai Pejabat Kemas dan Slim Village di daerah Muallim.

Turut ditutup ialah PPS di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Tok Sirat, Sungai Siput, Dewan Kampung Tanjung Keramat di daerah Hilir Perak dan DOR Kampung Batu di Kampar.

“Di Hilir Perak, empat PPS masih iaitu Dewan MPTI, Langkap (103), Dewan Serbaguna Chikus (123), Dewan MPTI Teluk Intan (230) dan SK Sri Langkap (50),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hanya satu PPS masih dibuka di Daeah Muallim iaitu di SK Kuala Slim yang menempatkan empat mangsa daripada dua keluarga.

“Dua lagi PPS yang masih dibuka ialah di Dewan Serbaguna Dato’ Azman Mahalan Kuala Dipang di Kampar menempat 26 mangsa dan Dewan Bandaran Gopeng tujuh mangsa,” katanya.

Sementara itu, Jalan Chikus di Langkap, Teluk Intan dekat Tanah Perkuburan Attaduri terpaksa ditutup sepenuhnya sejak semalam selepas separuh daripada laluan di situ runtuh akibat banjir sejak kelmarin.

Difahamkan panjang yang rosak itu sepanjang 100 meter.

Jalan itu rosak akibat limpahan air Sungai Batang Padang berikutan banjir dan papan tanda amaran telah dipasang di kawasan terlibat selain pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2021/01/mangsa-banjir-di-perak-menurun-2/