Mamu Mustafha Kamal, tukang masak bubur lambuk Masjid India Ipoh telah kembali ke Rahmatullah

Mamu Mustafha Kamal, tukang masak bubur lambuk Masjid India Ipoh telah kembali ke Rahmatullah

 

Pembuat bubur lambuk, Mustafha Kamal Varusai Mohamad yang sering menyediakan bubur lambuk di Masjid India Ipoh pada bulan Ramadan telah meninggal dunia pada 12.40 tengah malam tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh individu bernama Seene Abbas Ali dalam satu kenyataan di laman Facebook awal pagi tadi.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Dukacita dimaklumkan bahawa Mamu Musthafa Kamal bin Varusai Mohamed, bapa kepada Haja Subairdeen, Haja Habeeb Rahman, (Pasar Mini Tawakkal, Manjoi), Halimath Saburban dan Basludeen Musthafa Kamal telah kembali ke rahmatullah pada 26 Jamadilawal 1444H bersamaan 20 Dec 2022 pukul 12.40am.

“Doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Ameen,” memetik kenyataan tersebut.

Dalam masa sama makluman tersebut turut dikongsikan di laman Twitter @JJCMPERAK ekoran arwah merupakan pembuat bubur lambuk di Masjid India Muslim Ipoh.

Difahamkan, sembahyang jenazah dilakukan di Masjid India Muslim Ipoh pada pukul 12 tengah hari (tadi) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap pada hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan arwah sering menyediakan dan mengedarkan bubur lambuk kambing kepada masyarakat setempat pada bulan Ramadan.

Tradisi itu telah diamalkan sejak 80 tahun lepas oleh masjid tersebut yang popular dengan pemberian juadah bubur lambuk kambing setiap tahun.

Dikatakan arwah yang menjadi tukang masak utama menyediakan bahan masakan seawal 8 pagi pada bulan Ramadan untuk memastikan lapan periuk bubur lambuk selesai dimasak pada waktu Zuhur.