Mampu raih RM6,000 sebulan dengan kerja potong rumput, individu ini kongsi rahsianya

Mampu raih RM6,000 sebulan dengan kerja potong rumput, individu ini kongsi rahsianya

 

Kita sudah biasa beranggapan bahawa kerja di dalam pejabat pasti bergaji besar. Namun, realitinya ada sesetengah pekerjaan seperti memotong rumput yang biasa dipandang remeh ini mampu meraih lebih  daripada yang disangka.

Menerusi satu perkongsian yang ditulis oleh Merak Jalanan di Sinar Harian, dia mendedahkan bahawa telah terbaca di media sosial mengenai gaji seorang pemotong rumput yang boleh mencecah setinggi RM6,000.

Walaupun kelihatan agak mustahil, tapi perkara ini terpulang kepada kerajinan dan rezeki yang sudah tertulis buat seseorang. Menerusi pengiraan yang dibuat, Merak Jalanan percaya angka ini boleh boleh dikecapi.

“Kiraannya mudah, upah bagi seorang pemotong rumput dianggarkan dalam RM100 bagi satu kawasan yang standard. Katakanlah dalam sehari dapat tiga buah rumah. RM100 didarab dengan tiga, jumlahnya ialah RM300.

“Kemudian didarab lagi dengan anggaran 20 hari bekerja, maka jumlahnya ialah RM6,000. Betulkan? Tidak mustahil gaji boleh cecah empat angka,” tulisnya lagi.

Beliau tidak menafikan pasti ada yang merasa sangsi tentang kiraan itu memandangkan sudah pasti sukar buat seseorang untuk mendapatkan pelanggan secara konsisten pada setiap hari dan mungkin tidak menerima sebarang tempahan di hari tertentu.

“Itu tidak dinafikan, tetapi bayangkanlah jika seorang pemotong rumput itu berjaya mendapatkan 60 buah rumah sebulan yang menjadi pelanggannya secara tetap,” kongsinya lagi.

Bagi Merak Jalanan, dia ingin menekankan bahawa matlamat dia berkongsi perkara itu adalah untuk menasihati rakyat Malaysia supaya tidak memandang rendah pekerjaan yang majoriti besar dianggap tidak diingini oleh orang ramai.