Mampu raih RM12,000 sebulan, ibu ‘kantoi’ suruh anak menyanyi hingga 3 pagi di jalanan, tak sangka ini alasannya..

Mampu raih RM12,000 sebulan, ibu ‘kantoi’ suruh anak menyanyi hingga 3 pagi di jalanan, tak sangka ini alasannya..

 

Siapa sangka, seorang ibu tergamak mempergunakan dua anak bawah umur untuk mengutip sumbangan orang ramai di jalanan sehingga pukul tiga pagi.

Berjaya meraih ‘pendapatan’ bulanan mencecah RM12,000 sebulan, dua remaja itu menjadi penyanyi jalanan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir, Melaka.

Dua adik-beradik berkenaan kemudian diselamatkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dalam satu operasi pada kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Ketika remaja berusia 13 dan 15 tahun itu disoal siasat, seorang wanita dipercayai ibu mereka tiba-tiba muncul di sebalik orang ramai kira-kira lima minit kemudian.

Mendakwa anak-anak hanya mahu membantu mencari pendapatan untuk keluarga, kedua remaja itu dikatakan sudah mula ‘dieksploitasi’ semenjak empat tahun lalu.

Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak itu menyanyi di lokasi sama setiap hari bermula jam 8.30 malam hingga 3 pagi.

Difahamkan, mereka menyanyi dan meraih sumbangan orang ramai dengan kutipan hari biasa mencecah RM300 sehingga RM600 pada hujung minggu, lapor Kosmo.

“Kita percaya ibu kanak-kanak ini meletakkan anaknya di situ untuk mencari sumber kewangan kerana ketika serbuan dilakukan wanita itu juga berada jauh dari mereka, jadi ia merupakan situasi yang mencurigakan.

“Dua beradik ini meraih sumbangan antara RM300 sehingga RM600 setiap hari dengan bernyanyi pelbagai jenis lagu termasuk lagu 80-an dan berada di lokasi sehingga pukul 3 pagi.

“Sekiranya mereka ini perlu untuk kita lindungi demi masa depannya, kita akan ambil dan letakkan di rumah-rumah kebajikan supaya dapat jalani kehidupan normal di peringkat usia itu,” katanya memetik laporan Kosmo.

Menurut Zulkifli, hasil semakan lanjut pula mendapati ibu kanak-kanak itu merupakan penerima bantuan bulanan JKM dan dua anaknya masih bersekolah di Bukit Katil.

Penguatkuasaan dibuat mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan setakat ini, pihak JKM hanya akan mengambil tindakan pengawasan terhadap dua beradik itu.

Mengulas lanjut, Zulkifli mendedahkan bahawa sepanjang tahun lalu kira-kira 45 kes eksploitasi kanak-kanak berjaya dikesan di Melaka dengan 30 kes adalah kes berulang.

Kegiatan dilakukan ibu bapa tidak bertanggungjawab ini termasuklah membiarkan anak-anak melakukan aktiviti menjaja buah-buahan, bernyanyi dan juga menjual tisu.