Macam mana Malaysia tarik pelabur asing, soal Indonesia

Macam mana Malaysia tarik pelabur asing, soal Indonesia

 

Gergasi teknologi global kini melihat Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelabur asing dalam membina pusat data.

Kalau dilihat daripada segi jumlah pengguna media sosial, padahal Indonesia jauh lebih besar daripada Malaysia.

Tetapi kenapa pelabur asing seperti Oracle, Google, Amazon Web Services (AWS), ByteDance, dan Microsoft lebih suka pilih Malaysia sebagai tempat membina infrastruktur digital dan teknologi awan mereka.

Persoalan ini yang hangat dipertanyakan oleh media-media Indonesia kini.

Malaysia telah menarik pelaburan yang besar dari gergasi teknologi terbesar di dunia.

Oracle masuk ke Malaysia bawa pelaburan sebanyak AS$6.5 bilion (RM27 bilion), Google pula masuk dengan melaburkan AS$2 bilion (RM8.5 bilion) untuk pusat data dan cloud pertama di Malaysia.

Amazon Web Services (AWS) pula mencatat rekod pelaburan terbesar di Malaysia dengan komitmen sebanyak AS$6.2 bilion (RM29 bilion).

ByteDance, syarikat induk TikTok, turut menyuntik dana ke Malaysia dengan pelaburan AS$2.13 bilion (RM10 bilion) untuk membina pusat AI di Johor.

Microsoft juga tidak ketinggalan, melabur sebanyak AS$2.2 bilion (RM10 bilion) di negara ini.

Jika dibandingkan dengan pelaburan di Indonesia, Microsoft hanya melaburkan AS$1.7 bilion di sana—lebih rendah daripada pelaburan mereka di Malaysia.

Difahamkan antara faktor penting kenapa syarikat gergasi dunia berduyun-duyun bertandang ke Malaysia adalah disebabkan polisi yang mesra pelabur.

Sebagai contoh, pelabur pusat data memilih Malaysia kerana kos tenaga yang rendah dengan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Budi Arie Setiadi, mengakui bahawa kos elektrik di Johor hanya 8 sen per kWh, jauh lebih rendah daripada Indonesia.

Selain itu, dengan menawarkan kos operasi yang lebih rendah, Malaysia berjaya menarik minat syarikat-syarikat teknologi yang mencari lokasi strategik untuk membina infrastruktur digital mereka.

Dengan polisi mesra pelabur dan kos operasi yang lebih rendah, menurut NST, Malaysia kini dalam perjalanan untuk menjadi pusat data terbesar di Asia menjelang tahun 2028 melepasi Singapura.