Mak ayah dalam penjara, kanak-kanak 4 tahun mati didera lima rakan kakak

Mak ayah dalam penjara, kanak-kanak 4 tahun mati didera lima rakan kakak

 

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai selepas didera lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang Jumaat.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mangsa dijaga oleh kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah. Kakak mangsa kemudian menyerahkan adiknya itu kepada rakannya untuk dijaga.

Namun lain pula yang jadinya apabila mangsa dipercayai didera hingga tidak sedarkan diri. Susulan daripada itu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Difahamkan, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak Jumaat disahkan sudah meninggal dunia semalam (Isnin).

Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kejadian ini.

Hasil siasatan, pihak polis berjaya merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa dan semua suspek telah ditahan reman sehingga 31 Disember. Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.

Namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.