Majlis Raja-Raja akan adakan mesyuarat tergempar khas selepas Agong jumpa pemimpin parti?

Majlis Raja-Raja akan adakan mesyuarat tergempar khas selepas Agong jumpa pemimpin parti?

Majlis Raja-Raja Melayu akan mengadakan mesyuarat tergempar pada 16 Jun untuk membincangkan keadaan Covid-19 di Malaysia, menurut sebuah laporan.

Memetik sumber, The Straits Times Singapura berkata pertemuan sembilan ketua keluarga diraja itu akan diadakan di Istana Negara, selepas Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemimpin politik dalam masa tempoh terdekat.

Difahamkan, pertemuan itu diatur hanya beberapa hari lalu berikutan krisis memerangi Covid-19, program vaksinasi yang lembab ditambah desakan mahukan darurat ditamatkan dan Parlimen bersidang semula.

“Ini bukan Persidangan Raja-raja, sebaliknya mesyuarat tergempar khas,” kata sumber kepada akhbar berkenaan tanpa mengulas lanjut.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 30 Jun dan 1 Julai, selepas ditangguh kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Terdahulu, ahli politik pembangkang Khairuddin Abu Hassan berkongsi di Twitter bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memperkenan menerima menghadap pemimpin semua parti politik.

Terdahulu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MIC S A Vigneswaran dan Presiden MCA Wee Ka Siong memberitahu FMT mereka belum menerima sebarang jemputan rasmi dari Istana Negara.

Sumber: FMT