Majlis Perbandaran Manjung dinobat sebagai PBT terbaik

Majlis Perbandaran Manjung dinobat sebagai PBT terbaik

Meskipun baru sahaja berusia 19 tahun, Majlis Perbandaran Manjung di Perak membuktikan ia mampu dinobat sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbaik di negara ini.

Ditubuhkan pada 1980 sebagai Majlis Daerah Manjong sebelum dinaik taraf sejak 2001, kini ia berbangga apabila diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pencapaian cemerlang majlis itu turut dipuji oleh Menterinya, Zuraida Kamaruddin pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Bintang Perkhidmatan PBT di sini.

“Bayangkanlah PBT yang langsung tidak dikenali ramai pun mampu raih pemarkahan tertinggi dan kejayaan sebegini wajar dijadikan contoh oleh setiap kerajaan tempatan lain,” jelasnya.

Turut hadir pada program julung kali diadakan bagi hargai PBT terbaik itu ialah timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan

Zuraida turut merujuk pencapaian luar biasa majlis itu sehingga mengatasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah di tempat kedua diikuti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu.

Malahan, ia mengatasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Shah Alam di Selangor, yang masing-masing tempat keempat dan kelima disusuli Majlis Bandaraya Pasir Gudang di Johor.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula di tempat ketujuh diikuti Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor dan Majlis Perbandaran Dungun, Terengganu.

Buat julungnya kali dalam sejarah, kesemua tiga PBT di Wilayah Persekutuan, 12 di Selangor, dua di Pulau Pinang dan empat di Melaka mencipta rekod bertaraf cemerlang lima bintang.

Menerusi kenyataan statistik KPKT, 11 daripada 15 PBT di Johor turut capai status lima bintang manakala 11 daripada 15 PBT di Perak turut berjaya meraih taraf bintang penuh itu.

Secara keseluruhan 74 daripada 152 PBT di seluruh Malaysia dinilai sebagai lima bintang sementara 53 pula empat bintang diikuti 16 (tiga bintang), enam (dua bintang) dan tiga (satu bintang).

Berdasarkan penilaian KPKT sendiri, kesemua 17 PBT bertaraf bandar raya di negara ini diberi status lima bintang, selain 31 majlis perbandaran, 24 majlis daerah dan dua agensi.

Zuraida turut berpuas hati kerana penilaian menunjukkan ada peningkatan yang meraih taraf lima bintang setiap tahun berbanding rekod hanya 40 PBT yang cemerlang pada 2013/2014.

Sumber: Utusan