Pengantin perempuan batal saat akhir, ibu sebak umum majlis kahwin anak lelaki diganti doa selamat
Tular di media sosial, seorang ibu sebak umum majlis perkahwinan anak lelakinya tidak dapat berlangsung apabila calon isteri menarik diri pada saat-saat akhir.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengantin lelaki yang dikenali sebagai Adam di laman TikTok, dapat dilihat ibunya menangis ketika memberitahu kepada tetamu yang hadir bahawa pihak pengantin perempuan telah membatalkan perkahwinan beberapa hari sebelum majlis berlangsung.
“Dengan berat hati saya dan keluarga ingin memberitahu, atas sebab-sebab tertentu, pengantin perempuan telah membatalkan perkahwinan ini pada saat akhir, yang mana segala persiapan majlis di sebelah kami telah pun siap sepenuhnya,” kongsinya.
@ibumateenanaqi Replying to @Diana.Azmi Adam akan explain sendiri bila masanya tiba. but ini adalah 1% from the story. adam strong walaupun semua yang hadir hampir menitiskan air mata 🙂
Bagaimanapun, keluarga Adam enggan untuk membatalkan majlis tersebut memandangkan pelbagai persiapan sudah dibuat.
Susulan itu, Adam membuat keputusan untuk menggantikan hari bahagianya itu dengan majlis doa selamat yang diketuai oleh ustaz dan anak-anak maahad tahfiz.
“Saya tidak dapat membatalkan majlis kepada jemputan kerana ketika itu saya tidak mempunyai kekuatan.
“Saya juga tidak mampu untuk menjawab setiap soalan yang akan ditanya oleh jemputan.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk meneruskan majlis ini memandangkan persiapan telah dibuat dan pada masa sama, saya perlu memberitahu sendiri dalam majlis ini nanti.
“Saya dan keluarga telah mengadakan majlis doa selamat pagi tadi diketuai oleh ustaz dan anak-anak maahad tahfiz,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersimpati terhadap nasib menimpa keluarga Adam yang terpaksa menanggung malu disebabkan oleh perbuatan tidak bertanggungjawab pihak pengantin perempuan.
Dalam pada itu, ada juga segelintir netizen yang mencadangkan supaya keluarga Adam mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengantin perempuan untuk memberi pengajaran kepada mereka.