Majikan tempatkan pekerja di kediaman daif bakal berdepan denda RM50,000

Majikan tempatkan pekerja di kediaman daif bakal berdepan denda RM50,000

Pihak majikan yang membiarkan pekerja asing tinggal di kediaman sesak dan daif bakal berdepan tindakan didenda RM50,000 sekiranya didapati bersalah mengikut Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata perkara itu dikesan menerusi operasi bersepadu dijalankan ke atas lebih 30 unit kediaman di tapak pembinaan di Kampar, Perak hari ini yang mendapati ada majikan telah menempatkan pekerja melebihi kapasiti yang sepatutnya.

Selain membiarkan lebih 300 pekerja asing tinggal di penginapan kotor dan daif, Muhamad Fauzi berkata majikan itu juga didapati gagal mendapatkan perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Penginapan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, terlalu padat, kotor dan daif. Satu unit kediaman menempatkan lebih 10 orang sehingga menggunakan ruang tamu untuk tempat penginapan.

“Ada juga unit kediaman yang tidak ada katil, tidak menyediakan tilam sehingga ada yang tidur di atas papan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pemeriksaan Perak hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Fauzi berkata bagi tindakan susulan, JTK Perak akan memanggil pihak majikan untuk dirakam percakapan dan mengambil keterangan lanjut mengenai perkara itu sebelum didakwa di mahkamah.

Beliau berkata operasi itu dijalankan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di Perak dapat dibendung.

Operasi yang dijalankan bermula pukul 9.30 pagi itu turut disertai beberapa agensi termasuk Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – MK