Main meriam tanpa permit polis boleh dikenakan tindakan

Main meriam tanpa permit polis boleh dikenakan tindakan

 

Komuniti di Kampung Talang di sini, dinasihatkan untuk memohon permit polis sekiranya mahu meneruskan tradisi bermain meriam pada ambang 1 Syawal nanti.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, tanpa permit, individu yang bermain atau memiliki meriam boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bagi tujuan itu.

“Kita menasihatkan supaya mohon permit kerana mereka mengendalikan bahan letupan yang memerlukan kebenaran polis.

“Polis mengambil perhatian perkara ini tambahan ia merupakan satu tradisi namun, sebaiknya mohonlah permit bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Beliau ditemui media pada pelancaran Pertandingan Pesta Panjut Parlimen Kuala Kangsar yang disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid di Simpang Penaga di sini pada Khamis.

Dentuman meriam besi merupakan cara unik penduduk Kampung Talang di sini, untuk menyambut Aidilfitri sejak tahun 1930-an.

Bahan karbaid digunakan sebagai bahan bakar bagi aktiviti itu.

Bedilan meriam terbabit boleh didengari penduduk sejauh lima kilometer itu telah terhenti sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Tradisi turun-temurun itu dijangka akan diteruskan malah lebih meriah tahun ini berikutan pelaksanaan protokol baharu prosedur operasi standard (SOP).