Mahu uji kesabaran, lelaki ‘prank’ benam muka ibu yang jaga anak OKU dalam kek

Mahu uji kesabaran, lelaki ‘prank’ benam muka ibu yang jaga anak OKU dalam kek

 

Tular video seorang lelaki dipercayai pencipta kandungan bertindak melakukan ‘prank’ atau gurauan disifatkan melampau terhadap seorang wanita yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU).

Seorang pengguna laman Facebook, Atie Fadylla berkongsi video itu yang didakwa lelaki tersebut kononnya mahu menguji kesabaran golongan ibu dalam menjaga anak-anak berstatus istimewa.

Nak uji kesabaran akak je

Menerusi rakaman itu, lelaki berkenaan membawa sebiji kek sambil menghampiri mangsa yang ketika itu bersama anak lelakinya yang berkerusi roda di sebuah taman rekreasi di Semenyih, Selangor.

Lelaki tersebut kemudian dilihat terus membenam kek pada wajah mangsa sekali gus membuatkan wanita itu menjerit akibat terkejut sebelum mengundang perhatian pengunjung di situ.

Tidak mengambil masa lama, lelaki terbabit tampil menjelaskan tujuannya yang sekadar mahu melihat sejauh mana kesabaran ibu kepada golongan OKU termasuk memohon maaf atas tindakan dilakukan.

Sedutan keseluruhan video

 

“Ini adalah prank semata-mata, nak menguji kesabaran akak menjaga anak. Apa reaksi akak? Minta maaf kak.. alhamdulillah akak tak menyerang saya, cuma meninggikan suara.

“Saya minta maaf kak, akak maafkan saya tak? Bila orang buat macam ni, apa perasaan akak?,” katanya yang mempunyai 384,000 pengikut di aplikasi TikTok.

Melihat reaksi wanita tersebut pula, dia seolah-olah masih terkejut dengan kejadian itu namun memilih untuk bersabar.

“Tak patut.. kenapa nak buat saya. Saya tengah bawa anak saya tau. Aduh.. apa tujuan korang buat macam ni? Saya dah cukup sabar besarkan dia (anak) dalam keadaan macam ni.

“Saya marah tapi takpe.. apa projek (prank) korang buat, semoga berjaya,” ujarnya yang memilih sikap untuk bertenang.

Meninjau reaksi netizen, rata-rata meluahkan rasa marah serta tidak berpuas hati dengan perbuatan lelaki itu selain berharap pencipta kandungan berkenaan akan mendapat diambil tindakan oleh pihak polis.

Setakat ini, posting dimuat naik Atie Fadylla menerima 3,800 tanda suka dan 5,300 komen serta 5,800 perkongsian dalam kalangan warganet Facebook.