Mabuk punca pertengkaran sehingga maut ditetak

Mabuk punca pertengkaran sehingga maut ditetak

Pertengkaran antara tiga rakan ketika mabuk berakhir dengan kematian seorang daripada mereka apabila parah ditetak dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Banir, Batu 33, Jalan Temoh di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, S. Pushpaharan, 43, maut ditetak di bahagian pipi kiri menggunakan senjata tajam disyaki parang.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, sekitar pukul 1 pagi, ketiga-tiga lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol itu telah bergaduh sesama mereka dengan si mati bertindak memukul rakan sekerjanya berusia 51 tahun.

Katanya, lelaki yang cedera itu dan rakan sekerjanya iaitu suspek berusia 35 tahun telah dibawa oleh majikan ke Hospital Tapah untuk rawatan.

“Apabila pulang semula ke rumah, sekali lagi berlaku pertengkaran antara mereka hingga menyebabkan suspek bertindak menetak mangsa dengan senjata tajam.

“Mangsa yang ditetak di bahagian kiri muka mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digunakan bagi mengesan senjata yang didakwa dibuang suspek ke dalam sungai berhampiran.

Menurut beliau, tiga lelaki termasuk majikan mereka berusia 50 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Permohonan reman ke atas ketiga-tiga lelaki itu akan dijalankan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Kosmo