M. Daud Kilau selamat cucuk dua dos vaksin Pfizer
Menghidapi pelbagai komplikasi kesihatan termasuk kencing manis dan masalah membuang air kecil tidak menghalang Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau, 83, selesai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Pemilik nama lengkap Muhammad Daud Kilau itu sudah selesai mendapatkan dua dos vaksin jenis Pfizer beberapa hari lalu.
“Saya sudah selesai mendapatkan dua dos vaksin pada tarikh 7 Julai di Klinik Kesihatan Sungai Sumun, Bagan Datoh. Alhamdulillah, semuanya okey sahaja.
“Walaupun usia semakin tua, tak menghalang saya untuk cucuk vaksin. Orang muda, lagilah jangan takut.” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Pelantun lagu Cek Mek Molek berpesan kepada orang ramai supaya segera mendapatkan suntikan vaksin masing-masing kita semua dapat hidup seperti sedia kala seperti sebelum Covid-19 hadir dalam kehidupan.
“Jangan takut ambil vaksin. Vaksin menyelamatkan nyawa. Saya yang usia 83 tahun pun dah selesai dua dos, anda yang masih muda, janganlah lepaskan peluang daftar vaksin.”
“Kalau tak cucuk vaksin, kita tak boleh jumpa macam dahulu dan hidup berkurung. Saya nak tengok orang-orang muda gembira macam dahulu.”
Baru sahaja menyambut hari ulang tahunnya yang ke 83 tahun semalam, Daud Kilau buat masa sekarang menetap bersama isterinya, Rohani Awang Ngah, 64 dan anak lelakinya, Ahmad Zaini di Bagan Datoh.
Sebelum ini, kesihatan penyanyi veteran itu merosot sejak beberapa tahun kebelakangan kerana menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil. Perkara itu menyebabkannya mengambil keputusan untuk tidak lagi membuat persembahan pentas.
Daud Kilau sebelum ini lebih banyak berbaring di rumahnya di sini dan pada 12 November lalu, beliau dikejarkan ke Hospital Teluk Intan akibat sesak nafas.
Sumber: Kosmo