‘Lord Pretty’ dakwa polis buat gangguan seksual

‘Lord Pretty’ dakwa polis buat gangguan seksual

 

INDIVIDU yang mendakwa seorang anggota polis menaiki kereta peronda polis (MPV) melakukan gangguan seksual terhadapnya diminta tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Pemilik akaun Twitter ‘Lord Pretty’ dalam satu ciapan yang tular semalam membuat dakwaan terbabit dengan memuat naik gambar kereta peronda polis Honda Civic.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata gambar kereta peronda polis yang dimuatnaik disahkan adalah milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Berikutan itu, siasatan terperinci akan jalankan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.

“Pihak polis meminta pemilik akaun Twitter itu untuk tampil membuat laporan polis dan keterangan beliau dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti didakwa dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan pelanggaran undang-undang membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di IPD Petaling Jaya.

“Sehubungan itu, masyarakat diminta untuk tampil membuat pengaduan ke balai polis yang berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan perlanggaran undang-undang yang membabitkan anggota polis,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.