Little Kathmandu: Peniaga asing bayar ribuan ringgit tapak berniaga

Little Kathmandu: Peniaga asing bayar ribuan ringgit tapak berniaga

Peniaga warga asing dipercayai sanggup membayar ribuan ringgit bagi mendapatkan tapak atau premis untuk mereka menjalankan perniagaan secara ‘sah’ di negeri ini.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Negeri Perak, Asmadi Teh berkata, daripada maklumat diterima, golongan berkenaan sanggup membayar antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan bagi tujuan tersebut.

Malah katanya, bayaran lebih tinggi juga dikenakan bagi sewaan premis dan lesen perniagaan milik warga tempatan di bandar dan lokasi tumpuan ramai.

“Mereka ini memang tidak dibenarkan berniaga dan memiliki lesen perniagaan, namun mereka gunakan nama orang tempatan dan membayar sewa mengikut kadar tertentu.

“Contohnya kedai Siam (masakan Thailand), mereka sanggup bayar antara RM1,000 ke RM2,000. Sebenarnya, berapa kadar bayaran pun mereka sanggup bayar untuk dapatkan tapak berniaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menyiasat individu di belakang sesebuah perniagaan sebelum meluluskan pendaftaran syarikat dan mengeluarkan lesen perniagaan.

Katanya, tawaran tinggi menyebabkan ada dalam kalangan peniaga tempatan rela menjadi proksi untuk daftar syarikat sedangkan perniagaan itu diuruskan pihak lain.

“Kami membantah sekeras-kerasnya kebanjiran warga asing berniaga kerana peluang itu sepatutnya diberikan kepada orang tempatan.

“PBT contohnya, mereka ada penguat kuasa yang boleh menjalankan pemantauan. Jika didapati ada orang tempatan yang memindah milik premis atau lesen perniagaan kepada warga asing, tindakan tegas termasuk membatalkan lesen perlu diambil ke atas mereka,” katanya.

Tambah beliau, tindakan warga asing menggunakan bahasa ibunda mereka di papan tanda perniagaan juga tidak patut berlaku dan amat menghairankan apabila ia boleh digunakan sewenang-wenangnya.

“Pelik bagaimana PBT boleh terlepas pandang. Saya harap tindakan segera dapat diambil ke atas premis terlibat,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Dato Onn Jaafar di kawasan pekan baru di sini ibarat ditawan warga asing apabila menjadi ‘tauke’ kepada beberapa premis perniagaan.

Tinjauan di dua lokasi tersebut mendapati, lebih 20 premis diuruskan warga asing terutama warga Nepal. – Utusan