Limpahan air sungai punca banjir di Chemor

Limpahan air sungai punca banjir di Chemor

 

Limpahan air Sungai Chepor mengakibatkan kira-kira 30 buah rumah di Kampung Seri Klebang Tambahan 2 dan Desa Seri Chepor, Chemor di sini ditelenggami air awal pagi tadi.

Kejadian sekitar pukul 3.30 pagi itu mengejutkan penduduk yang rata-rata tidak menjangkakan banjir berlaku ekoran tiada hujan lebat sebelum itu malah keadaan cuaca juga baik.

Seorang suri rumah, Nurul Afida Mohamed, 39, berkata, dia sama sekali tidak menjangka akan menjadi mangsa banjir kerana tiada hujan lebat di kawasan rumahnya.

Katanya, dia bagaimanapun terkejut apabila menyedari lorong rumahnya yang terletak berhampiran sungai mula dinaiki air.

“Semalam, banjir kilat memang berlaku di Sungai Siput yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini pada sebelah petang, tetapi keadaan cuaca di sini baik seperti biasa.

“Tidak sangka apabila tersedar dari tidur, air mulai naik. Saya dan keluarga segera menyelamatkan pakaian dan beberapa perabot agar tidak ditelenggami air banjir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Klebang Tambahan 2 di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd. Faizal Che Hassan, 36, berkata, air banjir naik ke paras dada hanya dalam tempoh singkat dan dia yang ketika itu baru terjaga dari tidur segera menyelamatkan barang berharga dan dokumen penting.

Katanya, dia juga terpaksa memindahkan bapanya ke dewan berhampiran ekoran keadaan rumahnya yang masih digenangi air.

“Sudah lebih 12 jam dan air masih belum surut lagi tetapi kami sudah mula kemas beberapa barangan. Barangan elektrik kami letakkan di tempat tinggi.

“Sekarang, kami tidak lena tidur kerana bimbang rumah dinaiki air lagi tambahan lagi keadaan cuaca pun tidak begitu baik,” katanya.