Lima warga emas ditahan sabung ayam

Lima warga emas ditahan sabung ayam

Lima warga emas antara 14 lelaki yang ditahan polis ketika leka berjudi sabung ayam di sebuah kawasan kebun di Taman Impiana Adril, Jalan Pegoh, Menglembu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 71 tahun ditahan dalam serbuan pada 11.45 pagi di kawasan kebun berpagar itu.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan polis dengan kesemua suspek yang berada di kebun terbabit ketika itu gagal melarikan diri.

“Siasatan awal mendapati aktiviti sabung ayam di situ sudah berlangsung sebanyak lima kali dengan pertaruhan yang ditetapkan adalah antara RM500 hingga RM1,000.

“Ayam itu akan dibiarkan bersabung selama 20 minit untuk satu pusingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi turut merampas wang tunai sebanyak RM25,078, lima ekor ayam sabung serta sangkar.

Beliau berkata, permohonan reman akan dibuat hari ini untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 .

“Selain itu, kesemua suspek turut dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – HM