Lima teras strategik dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030

Lima teras strategik dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030

Lima teras strategik digariskan dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 dilancarkan Kerajaan Perak hari ini bagi menentukan pembangunan dan hala tuju pentadbiran lebih mampan.

Lima teras itu adalah keseimbangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi, kerjasama pintar, kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi, sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli serta kepakaran berkualiti dan bernilai tinggi.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata pelan itu didukung dengan visi ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ yang mencerminkan manifestasi harapan rakyat yang mahu kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan.

“Pelan ini digarap dengan mengambil kira pelbagai cabaran semasa pada peringkat domestik dan faktor luaran dalam mentadbir urus negeri supaya menjadi negeri sejahtera, berdaya maju serta berpendapatan tinggi,” katanya berucap melancarkan RoadMap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani berkata, teras pertama membabitkan komitmen kerajaan negeri untuk melengkap dan menambah baik kemudahan prasarana di kawasan bandar serta luar bandar.

Katanya, ini akan dilakukan dengan mengambil kira kekuatan setiap kawasan dan daerah bagi mencapai matlamat keterangkuman wilayah.

“Antara contoh ialah pembangunan Lebuhraya Pesisir Pantai Barat ataupun West Coast Expressway (WCE) sepanjang 139.2 kilometer yang memberi limpahan manfaat kepada lima daerah iaitu Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung dan Larut, Matang serta Selama,” katanya.

Selain itu, bagi, teras kedua, beliau berkata, ia memberi fokus kerajaan negeri akan menjadikan kerjasama pintar sebagai antara pendekatan untuk memacu pembangunan negeri.

“Ia kaedah membabitkan kerjasama kerajaan dan sektor swasta merangkumi aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, perumahan, pelancongan dan banyak lagi.

“Kerajaan negeri melihat inisiatif ini wajar diperkasa kerana ia bukan saja mampu melonjakkan produktiviti, tetapi juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan fiskal supaya peruntukan kerajaan sentiasa mencukupi bagi menyokong perkembangan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, bagi teras ketiga, dalam konteks kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi, kerajaan negeri memandang berat isu keseimbangan antara penerokaan dan penggunaan sumber bumi secara lestari.

“Kekayaan negara, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar adalah tiga komponen utama perlu diambilkira kerajaan dalam setiap projek pembangunan,” katanya.

Bagi teras keempat pula memfokuskan masalah birokrasi yang sentiasa membayangi sistem penyampaian kerajaan.

“Kekurangan infrastruktur digital, budaya kerja tertutup, jumud, berasaskan agensi dan kekurangan penyelarasan maklumat atau data agensi adalah antara isu sering dibangkitkan rakyat.

“Justeru, kerajaan perlu merangka pendekatan baharu penyampaian perkhidmatan bagi memastikan persekitaran sistem sedia ada seiring dengan kehendak rakyat, perubahan ekonomi dan perkembangan teknologi semasa. Contohnya, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada inisiatif meluaskan perkhidmatan dalam talian dan perkhidmatan digital yang efektif kepada rakyat,” katanya.

Saarani berkata, teras kelima pula membolehkan kerajaan negeri memperkenalkan insentif tertentu yang mampu menarik tenaga pakar pulang ke negeri ini, selain memperbaharui ekosistem pekerjaan sedia ada supaya bertepatan dengan keperluan bidang pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi. – BH