Lima jenis loghat Perak yang mungkin anda baru tahu

Lima jenis loghat Perak yang mungkin anda baru tahu

Negeri Perak negeri yang bertuah ini mempunyai 5 jenis dialek atau loghat yang utama iaitu loghat Utara, loghat Patani, loghat Kepulauan Indonesia, loghat Selatan Semenanjung dan loghat Lembah Sungai Perak.

Oleh kerana negeri Perak ini mempunyai sempadan dengan negeri lain, maka ia tidak dapat lari daripada menerima pengaruh loghat negeri lain. Misalnya penduduk Perak di bahagian utara (Kerian dan Larut Matang) seperti Bagan Serai, Taiping dan Parit Buntar sehingga Pantai Remis lebih terpengaruh dengan loghat Kedah dan fasih loghat utara.

Menurut cerita sejarah dahulu, sebahagian besar penduduk di kawasan berasal dari Kedah telah berhijrah ke Perak akibat daripada ancaman Siam pada tahun 1821.

Di bahagian Hulu Perak iaitu Kroh, Grik dan Lenggong, masyarakat di kawasan ini banyak menggunakan loghat Patani. Ia menyebabkan dialeknya seakan-akan serupa dengan loghat Kelantan. Sepertimana di utara, penduduk Hulu Perak juga kebanyakannya terdiri daripada penduduk dari Patani dan Reman.

Seterusnya di daerah Kinta. Loghatnya turut berbeza mengikut masyarakatnya juga. Majoriti penduduk di sini datang dari kepulauan Indonesia seperti Rawa, Mandheling, Banjar dan banyak lagi dan menggunakan longat kepulauan Indonesia.

Manakala di selatan iaitu daerah Batang Padang sehingga Bagan Datoh, dialeknya pula lebih dipengaruhi dengan dialek selatan Semenanjung seperti Selangor dan Johor.

Hal ini kerana masyarakatnya juga terdiri daripada golongan penghijrah dari Selangor (orang Jawa dan Bugis) semasa Perang Saudara di Selangor sekitar 1860 ke 1870.

Kemudian di bahagian Perak Tengah seperti di Kuala Kangsar, Sayong, Karai, Bota, Parit, Lambor Kg. Gajah dan Tg.Blanja. Inilah yang dikatakan loghat asli Perak kerana ianya agak berbeza dengan loghat tempat lain dan amat digemari orang ramai apabila mendengar celoteh individu yang menggunakan loghat ini. – OP