Lima individu termasuk wanita, usia 17-21 tahun ditahan, disyaki terlibat kes duit dalam bank hilang
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah mengesan kewujudan penipuan baharu melalui penggunaan Fail Android Package Kit (APK) yang mengakibatkan wang dalam akaun bank mangsa hilang.
Menurut DCP Setiausaha Polis Malaysia, Dato’ HJH. Noorsiah Binti Mohd Saaduddin berkata, pihak polis telah berjaya menahan lima individu yang disyaki terlibat kegiatan tersebut menerusi serbuan pada 24 Ogos lalu di Kuala Lumpur.
“Kesemua mereka merupakan warganegara Malaysia terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan yang berumur di antara 17 hingga 21 tahun.
“Berdasarkan siasatan, kesemua mereka beroperasi dengan mencipta akaun palsu di laman sembang (chatting) terkenal.
“Mangsa yang ingin berkenalan dengan lebih rapat kemudian ditawarkan untuk melihat gambar-gambar serta video mereka melalui aplikasi lain yang akan dihantar menerusi fail APK,” jelasnya,” jelasnya.
Difahamkan, mangsa juga perlu membuat pembelian token sebelum dibenarkan mengakses aplikasi tersebut. Aplikasi yang telah berjaya dipasang akan menyebabkan berlakunya transaksi pengeluaran wang dari akuan mangsa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan. Perkaitan antara sindiket ini dengan lain-lain kes penipuan yang sama masih dalam siasatan,” tambahnya.
Sebagai langkah pencegahan, pihak PDRM menasihati orang ramai agar tidak memuat turun sebarang aplikasi dan memasang sebarang fail APK yang dihantar oleh individu tidak dikenali dan elak dari memasang aplikasi APK dari sumber tidak sah.
Dalam pada itu, keselamatan sistem pesanan ringkas (SMS) pada telefon pintar juga hendaklah sentiada dipelihara kerana ia akan menerima SMS one time password (OTP) daripada pelbagai aplikasi di telefon pintar anda.
KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA POLIS MALAYSIA
Modus Operandi Penipuan Baharu Melalui Penggunaan Fail Android Package Kit (APK). pic.twitter.com/YJwhoQ6Urb
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) September 14, 2022